index // older // notes // tag // sign



03.11.2003 Monday morning @ 6:02 a.m.
*Mendapat inspirasi*

Jam sudah menunjukkan 6.02 pagi. Aku masih berjaga dari semalam. Mataku tak merasa mengantuk, badanku tak mengenal erti penat. Ya, mungkin sekarang aku tak mengenalinya. Tubuh masih muda, masih cergas. Masih mampu berjaga semalaman.

Lagu R.E.M yang berkumandang di WinAmp sudah sampai ke penghujungnya. Entah kenapa, lagu ini yang masih aku cari pada saat-saat begini. Tak begitu kena dengan suasana kemelayuan yang cuba kuluahkan. Mungkin sudah biasa dengan pertuturan Inggeris. Otakku mati memikirkan perkataan yang harus aku terjemahkan. Macam peristiwa semalam petang, aku merujuk acapkali kepada kamus Melayu-Inggeris. Tak pernah aku menduga akan melakukan kerja sebegitu sedangkan aku memburu diploma dalam bahasa jajahan.

Perbualan dengan seorang kawan telah membuka pintu hati serta mindaku. Ya, aku juga mendapat inspirasi dari buku karya Ramlee Awang Murshid bertajuk "Anugerah Pertama". Karya memaparkan karakter Anuar Jardi, yang dikurniakan anugerah dari Allah swt. Pada mulanya Anuar kurang mengerti dengan pemberian tersebut dan menyalahkan dirinya serta kuasa Tuhan. Namun akhirnya, dia berjaya menggunakan anugerah tersebut untuk berbakti kepada masyakarat dan sekaligus menyelamatkan orang yang dikasihi.

Amira... kau bidadari dalam hatiku
namun kau tercipta untuk jodohmu.


Sungguh romantis! Pandai si penulis melayarkan puisi khas untuk karakternya Anuar, supaya dapat memberi jiwa dan nyawa kepada karakter tersebut. Juga membuatkan pembaca seolah-olah merasakan kerumitan yang dirasakan Anuar. Sebagai seorang hamba Allah yang ta'at kepada agama dan cintakan kepada kedamaian, dia melupakan kasihnya kepada Amira. Rangkap-rangkap yang "ditulisnya" mengandungi maksud yang tersembunyi dan cukup simbolik.

"Kau tetap kawan baik, Anuar."

. . .


Wahai kawanku.

Sebagai seorang kawan, aku sentiasa mengharapkan dan mendoakan kesejahteraan dan keselamatanmu. Mungkin ia tak kelihatan dan mungkin aku telah memberikan gambaran yang kurang tepat, namun percayalah, kebahagiaanmu adalah kebahagiaanku juga.

Janganlah sekali-kali kau membiarkan perasaan orang lain mempengaruhi tindakanmu. Biarkanlah tindakanmu itu membahagiakan Tuhan yang Maha Agung, serta menceriakan hatimu. Tidak ada gunanya kau bermuram buat sekian lama. Percayalah dalam qada' dan qadar Tuhan dan usahakanlah agar cita-citamu tersampai. Aku percaya, kau tidak bertepuk sebelah tangan.

Yang baik itu dari Tuhan, yang buruk juga dariNya. Anggaplah yang baik itu sebagai ganjaran dan yang buruk itu sebagai cabaran. Kau seorang yang tabah, prihatin dan ikhlas. Ta'at pula kepada ibu bapa dan suruhan agama. Aku percaya, dia adalah untukmu. Ciri-ciri yang kau idamkan dalam seorang satria ada padanya, Insya Allah. Hanya kau perlu memulihkan semangat dan keyakinan diri.

Selama persahabatan kita, aku dapat merasakan yang kau akan menjadi seorang insan yang bertuah sekiranya kau bersabar. Bersabarlah! Kejayaan akan kau kecapi, hanya masa dan keadaan yang tak kau ketahui. Tuhan itu Maha Adil. Sesungguhnya Dia akan melimpahkan kurnia dan ganjaran pada hambaNya yang bersabar. Aku yakin, kesabaran itu ada dalam dirimu. Hanya saat ini betul-betul menguji tahap kesabaran tersebut.

Kawan, kau selalu bersikap adil dan baik kepadaku. Aku rasa sungguh bertuah kerana mempunyai seorang sahabat yang prihatin serta ikhlas memberikan pandangan. Bantuan dan sokongan yang sentiasa kau berikan tanpa jemu, mendorongku untuk memberikan yang terbaik sebagai kawanmu. Tapi, apakan daya, aku juga manusia biasa, hamba Allah yang lemah dan dhaif. Aku tidak lepas dari gangguan nafsu dan sifat tidak berpuas hati.

Aku memohon maaf dan ampun darimu kerana gagal memberikan yang terbaik di sepanjang persahabatan kita. Namun, aku berharap agar persahabatan ini kekal hingga ke akhir hayat, Insya Allah. Terima kasih kerana sudi menjadi kawan kepada diri ini.


Kawan... apa erti sayang
Jika hati tak senang
Kawan... apa erti kasih
Jika kau tersalah pilih

Kau... pandai bercerita
Surat panjang berjela
Kita tak pernah bersua
Aku tak suka bercinta

(1)
Apakah ertinya ini
Mengganggu akal dan hati
Lupakan saja, lupakan diriku
Kita di bangku sekolah lagi...

Hei! Jangan buang masa
Dengan berkhayal saja
Kawan lihat masa depan
Masih jauh di hadapan

Hei! Jangan main api
Nanti membakar diri
Ilmu harus kita cari
Kelak kita takkan rugi

(ulang 1)


Lagu Ruhil Amani berjudul "Kawan" aku tujukan buat dirimu. Sekali lagi, terima kasih.



. . .

back // forth
Diaryland // Email?