index // older // notes // tag // sign



06.06.2002 Thursday evening @ 7:20 p.m.
*Cerita*

Mira terkejut apabila mendapati sejambak bunga ros menghiasi mejanya di pejabat. Tatkala dia melangkah masuk ke bilik pejabat, jambangan bunga ros itulah yang menarik perhatiannya. Rakan-rakan sepejabat masing-masing menghadiahkannya sebuah senyuman, semacam ucapan tahniah yang tidak dilafazkan.

Mira melabuhkan punggungnya lalu mencapai sekeping kad yang diselitkan di celah-celah jambangan bunga ros itu. Dalam hati dia membaca.


Assalamualaikum dan selamat pagi Cik Nuramira anak Pak Seman. Tepat pukul 12.45 tengah hari nanti, saya tunggu di hadapan bangunan pejabat Cik Nuramira. Kita merarau bersama tengah hari ini?

Mustapha Karim


Selepas membaca kad itu, Mira menggeleng-geleng sambil tersenyum. Senyuman itu ikhlas dari hatinya. Kad ucapan itu masih ditatapnya sambil melamun jauh. Mira tersentak apabila menyedari bahunya disentuh oleh seseorang.

Mira menoleh. Keningnya terangkat apabila seorang rakan pejabat berdiri betul-betul di hadapannya. Dia tergamam sejenak.

"Hadiah daripada pak we?" tanya Siti lalu menarik sebuah kerusi roda empat lalu duduk di sebelah Mira. "Seriuskah?" Siti bertanya lagi.

Mira tertawa. "Anak majikan ayah Mira. Lagipun dia muda sangat," jawab Mira bersahaja.

"Lagi baik kalau anak majikan ayah engkau, Mira," kata Siti. "Engkau tua berapa tahun. Dua, tiga, empat tahun?"

"Tua sepuluh tahun, Ti," kata Mira.

"Apa? Tua sepuluh tahun?" Mata Siti sedikit terbelalak. Lama dia terdiam, kemudian dia menjawab. "Alah, apa dikira sangat batas umur. Rasulullah berkahwin dengan Siti Khadijah dulu pun sama juga begitu. Rasulullah lima belas tahun lagi muda."

Mira menggeleng. "Engkau jangan mengarutlah, Ti," kata Mira. "Mira dah anggap dia tu macam adik Mira sendiri."

"Tapi kalau dah macam ni, bukan macam adik kakak lagi, Mira. Anak majikan ayah engkau tu sayangkan engkau. Tak kan pula engkau nak hampakan dia. Yang penting, dia ikhlas sayangkan engkau, Mira."

"Jangan nak mengarutlah, Ti. Dia luah perasaan pun tidak. Jangan-jangan kita ni saja yang perasan sendiri. Sebelum dapat malu, baik mengelak," tegas Mira. Kad ucapan daripada Mustapha disimpan di dalam laci tingkat pertama.

"Sikap dia kepada engkau macam mana?"

"Biasa saja."

"Tak kan biasa saja kut." Siti tersenyum. "Kalau biasa tak kan pula sampai hadiahkan bunga," kata Siti, mengusik.

Mendengar kata-kata Siti, Mira terdiam sejurus lamanya. Riak wajahnya berubah. Dahinya berkerut semacam mengarahkan otaknya berfikir.

"Kenapa muka macam tu, Mira? Macam fikir masalah negara saja," kata Siti. "Engkau pun bukan muda lagi, Mira. Terima sajalah," sambung Siti lagi. Mira tidak menjawab segera. Sekian lamanya dia membisu. Berfikir lagi.

"Okeylah, Mira. Saya nak sambung kerja." Siti menepuk sekali bahu Mira. "Saya cuma beri pendapat, walaupun kau tak minta. Sebagai kawan saya risau juga dengan keadaan kau sekarang ni." Siti tersenyum. "Bimbang kalau-kalau engkau antilelaki." Sekali lagi Siti menepuk bahu Mira dan dia pun meninggalkan Mira melayan perasaanya sendiri ketika ini.

Mira meletakkan jambangan bunga ros itu di tepi mejanya dan dia pun melakukan kerja-kerja seperti biasa. Tepat pukul 10.30 pagi, Siti dan Rahman mengajak Mira ke kantin, tetapi Mira secara sopan menolak pelawaan mereka. Hari ini Mira bekerja tidak seperti biasa. Dia tampak lebih tekun dan tidak banyak bercakap. Selalunya dialah yang kaki kacau di kalangan rakan-rakannya. Mira acapkali mengerling ke arah jam dinding, kalau tidak pun asyik-asyik jam di pergelangan tangannya dilihat sepintas lalu. Lagi lima belas minit pukul 12.45 tengah hari, Mira bergegas ke bilik air. Dia mengemaskan rambut dan melihat wajahnya di cermin.

Tepat 12.45 tengah hari, Mira turun ke bawah dan berdiri dekat pintu masuk bangunan itu. Belum lama dia berdiri di situ, dilihatnya Mustapha yang memandu sebuah van berhanti di hadapan bangunan. Mustapha menjenguk ke luar. Mira berasa sedikit berdebar. Dia menarik nafas dua tiga kali sebelum melangkah.

Apabila melihat Mira datang, Mustapha melemparkan senyuman. Pintu van ditolak dari dalam menyebabkannya ternganga luas menyambut kedatangan Mira.

Hemm, tak romantik langsung! desis Mira dalam hati.

"Assalamualaikum," ucap Mustapha.

Mira segera menyambut salam. Wajahnya serius. Dengan teragak-agak Mira melangkah masuk ke dalam van. Macamlah tak ada kereta lain! Van pula yang dibawanya. Menyusahkan aku naik saja...tinggi benar! Hati kecilnya berdetik lagi.

"Suka tak dengan jambangan bunga ros tu?" Mustapha bertanya.

Mira menoleh dan melihat Mustapha dan terus mengangguk sekali. "Nak belanja akak makan di mana?" Sejurus Mira pula yang bertanya.

Mustapha mengangkat kedua-dua keningnya. Kakak lagi! desis Mustapha sendiri. Mira menahan tawanya apabila melihat reaksi Mustapha menerusi air mukanya. Kemudian Mustapha menjawab. "Kita makan di Restoran Melayu."

"Okey," jawab Mira.

Mustapha tersenyum lagi. Gear van ditolak ke arah nombor satu lalu dia pun menekan pedal minyak dan van yang dipandu meluncur perlahan keluar dari perkarangan bangunan pejabat Mira. Mereka sampai di Restoran Melayu dalam jangka masa sepuluh minit. Tatkala keluar dari van dan ketika mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam restoran, Haji Hassan menyambut kedatangan mereka dengan hati yang girang. Haji Hassan menyediakan mereka sebuah tempat di penjuru yang agak terpencil di ruang restoran.

"Tuan Haji, minta hidangan istimewa hari ini ya," kata Mustapha sambil mengerling ke arah Mira.

"Beres!" jawab Haji Hassan. Kemudian dia pun berlalu ke arah dapur.

"Selalu makan di sini?" tanya Mira.

"Kadang-kadang. Selalunya datang bersama ayah," jawab Mustapha. "Kak..." Mustapha menekan perkataan itu. Mira tampak sedikit terkejut lalu merenungi muka anak muda itu. Mustapha tersenyum kecil. "...selalunya merarau kat mana?" tanya Mustapha.

"Selalunya di kantin pejabat. Kadang-kadang tu makan di luar. Alah makan di gerai saja," jawab Mira. Renungannya tewas dengan terkaman tajam mata Mustapha. "Apa angin ajak akak makan hari ini? Perniagaan tambah majukah? Untung besar kut?"

Mustapha tertawa kecil, tapi masih enggan menjawab pertanyaan Mira. Mustapha berasa terselamat apabila seorang pelayan mendekati mereka dan menghidangkan makanan tengah hari. Bau lauk-pauk dan sayuran yang dihidangkan sudah cukup untuk membuka selera mereka berdua.

"Dah pesan minuman, bang?" tanya pelayan itu.

"Belum," jawab Mustapha sepatah. Matanya dialihkan ke arah Mira sambil mengangkat sedikit kening sebagai isyarat kepada Mira supaya segera meminta minuman yang dikehendaki. Pelayan tadi sudah pun mengeluarkan pen dan sekeping kertas untuk mencatatkan permintaan pelanggan.

"Air kosong," kata Mira.

"Air kosong saja?" Mustapha sedikit terperanjat.

"Air mineral," kata Mira lagi, tersenyum.

Mustapha segera memandang pelayan tadi. "Saya pun sama juga dik. Air mineral," kata Mustapha, teragak-agak. Pelayan tadi pun mengangguk dan terus berlalu ke dapur. Sebentar kemudian dia muncul sambil membawa dua gelas bersama dua botol kecik air mineral dan diletakkan di atas meja.

"Minum air ni baik untuk kesihatan, Mus." Pertama kali Mira memanggil Mustapha dengan panggilan itu. "Air boleh meneutralkan asid toksid dalam badan kita," kata Mira. Gayanya seperti seorang guru bercakap dengan anak-anak muridnya. Mustapha menopang dahu dengan kedua-dua telapak tangan. Matanya sengaja dikedip-kedipkan. "Janganlah buat macam tu," kata Mira, manja. Mustapha ketawa terkekeh-kekeh.

"Jemput makan," pelawa Mustapha setelah tawanya mulai reda. Mereka pun sama-sama menikmati makan tengah hari.

"Apa hal Mus ajak akak makan tengah hari ni?" tanya Mira sempat mencelah ketika mereka sedang menikmati makanan tengah hari.

Mustapha berhenti mengunyah. Sudu dan garpu diletakkan di atas pinggan. Mulutnya dilap dengan tisu. "Ayah nak ke Makkah tahun depan." Suaranya ahak merendah.

Mira turut meletakkan sudu dan garpu di atas pinggan. "Alhamdulillah," ucap Mira. "Jadi, apa masalahnya?" tanya Mira kemudian.

"Ayah..." Mustapha menggetap bibir bawah. Dia kelihatan serba salah. "Ayah nak Mus berkahwin sebelum dia berangkat ke Makkah."

Mira menelan air liur apabila mendengar ucapan Mustapha. Jantungnya mulai berdegup kencang. Kedua-dua tapak tangan disatukan sambil kedua-dua siku menongkat di atas meja. Raut wajahnya berubah sedikit. Dia seolah-olah mengetahu maksud kata-kata Mustapha yang akan diutarakan sebentar lagi.

"Mus bingung. Nak kahwin tapi tak ada calon. Nak tolak hasrat ayah, Mus khuatir ayah akan berkecil hati."

"Mus tak ada calon?" Mira mengerutkan dahinya. Walaupun sudah berusia awal tiga puluhan, namun Mira masih kelihatan manis. Kulit pipinya bersih, rambutnya yang lepas sampai paras bahu dan senyumannya yang menawan itulah menjadikan Mira wanita yang cantik dan berwibawa. Tambahan pula Mira wanita yang berpelajaran tinggi.

Mustapha terdiam. Matanya berkedip dua tiga kali.Kemudian dia mengalihkan mata merenung Mira. "Mus dah ada calon, tapi Mus tak pernah berterus terang. Mus malu kalau..." Kata-katanya terhenti di situ.

"Mus dah cakap dengan Dato'...err...ayah Mus?"

"Belum." Mustapha menggeleng. "Eh, fasal apa?" Mustapha tercengang seketika. Mukanya berkerut.

"Fasal kita." Mira mengulum senyum.

"Macam...macam mana akak, err...Mira tahu Mus...Mus?" Mustapha tergagap-gagap. Kulit mukanya kemerah-merahan. Cuping telinga terasa panas.

"Mira menjawab secara berseloroh. "Mira dah lama hidup, Mus."

"Jadi...Mira setuju?" tanya Mustapha inginkan kepastian.



Dipetik dari buku berjudul "Pei Pan" karangan Ramlee Awang Mursyid. Sila rujuk ke perpustakaan terdekat anda untuk keterangan lanjut kerana lelaman-lelaman web yang diberikan merupakan link-link yang tidak berfungsi. Walaubagaimanapun, anda masih boleh mencuba nasib di sini ataupun di sini. Semua hakcipta terpelihara. Harap maklum.

. . .

Saya cuma mendapat ilham dari kawan saya. Walaubagaimanapun, BUKAN saya yang menulis cerita yang tertera di atas. Saya ulang, saya TIDAK menulis cerita tersebut. Kepada tuan penulis dan pencetak atau mana-mana pihak yang terlibat yang tidak puas hati dan ingin saya menurunkan entry ini, sila email saya dan saya akan lakukannya dengan segera. Walaubagaimanapun, sila maklum bahawa entry ini merupa promosi bebas untuk melariskan buku "Pei Pan" dan tuan penulis sendiri, serta satu matlamat untuk menggalakkan orang ramai (lebih-lebih lagi kumpulan muda-mudi di titik merah di mana saya berada) supaya mengamalkan sikap suka membaca terutama sekali karya-karya dan sastera Melayu. Terima kasih. :�



. . .

back // forth
Diaryland // Email?