index // older // notes // tag // sign



09.10.2002 pagi Rabu @ 12:34 a.m.
*Lagak bodoh tapi bersengat...*

Rindu menikam dek cinta Sita

Hilang bekas hilang sisa amarah

Bongkar akar bongkar mimpi Suralaya

Datang bingung berpaulan di ambang yuda

Ajak menung bawah panji wilmana

Apa hikmah tersemat di balik perintah!


Temu hulu hilir menyusur

Adat hidup temukan mati

Jangan tuan terus masygul (duk nengu sugul)

Adat wira harus tahan uji


Ya kalau begitu aku berjanji

Hadapan temanku yang berpekerti tinggi

Titian takdir seruncing manapun ku seberangi..oh, oh

Di mulut naga gemala sakti terkunci

Kan ku sambar ku rampas jadikan bukti..e eh


Langgam Dogol langgam keramat

Bisik-bisik dalam kelambu

Lagak bodoh tapi bersengat

Sambil elak (bila ngelik), dia main siku


Riwayat bermula dari dahulu

Pandang belakang tersangatlah jauh

Perlu menyilang irama dengan lagu

Kapal belayar usah dilabuhkan sauh!

Asal debu pasti pulang ke debu

Dari tegap bertimbuh baik rebah merempuh


Bersambunglah petir (litar) berdentum dentam

Hujan tak turun laut berlimpahan

Asyik (ghalik) merancang dendam seribu malam

Siang menerang semakin berganda rawan

(koho sie koho bergande rawe)


Keronsang terlekat kerana peniti

Hujan pelangi pula sebabkan igauan

Tidak terlintas nyawa dipertaruhkan dikandung badan..oh, oh!

Sesaat berangan terlepaslah habuan

Ikan tak dapat umpan pula hilang..e eh


Langgam Dogol langgam keramat

Bisik-bisik dalam kelambu

Lagak bodoh tapi bersengat

Sambil elak (bila ngelik), dia main siku



(M. Nasir/Loloq)

. . .

Dah lama aku tak tulis dalam bahasa Melayu. Entahlah, tiba-tiba keinginan tu muncul. Mungkin disebabkan lagu di atas tu..tu..aku dah pun letak kekata jadi sesiapa yang nak baca dan sanggup membaca boleh berbuat demikian.

Kadang-kadang memang pelik. Walaupun aku menulis dalam bahasa ibunda, tapi cara pemikiran aku tetap dalam bahasa Inggeris. Dah sebati dengan jiwa; fikir dalam bahasa Inggeris dulu, kemudian baru alihbahasakan. Hah! Patutnya tak boleh macam tu. Aku kena fikir dalam bahasa Melayu. Yelah, aku ni orang Melayu walaupun dalam kad pengenalan ia tertera Boyan. Walaubagaimanapun, aku masih tergolong dalam suku-sakat Melayu.

Hairan jugak bila aku perhatikan. Segolongan orang "Melayu" kita sanggup membuang jati diri serta budaya masing-masing dan sebaliknya, memeluk suatu idea yang sepatutnya asing bagi mereka. Bukanlah aku nak jadi pengkritik nombor satu macam sesetengah pihak media, cuma aku pun prihatin jugak. Sebab ada orang tu, nama dia aje orang Melayu, tapi kat rumah makan nasi pakai sudu garpu. Kalau dah sampai gitu sekali, mungkin kes macam ni dah teruk sampai tahap maksima.

Yelah, kalau dah nama orang Melayu, tanggapan malas, lambat dan kurang cenderung dalam sesuatu bidang tu dah memang melekat kat dahi. Nampaknya, bukan saja orang dari bangsa lain yang beranggapan macam tu, tapi ada jugak orang kita sendiri yang bersikap sedemikian rupa. Macam lembu kena cucuk hidung pulak. Apa orang lain cakap, dia main ikut aje. *senyum sinis* Dia tak kuasa nak celah ataupun pertahankan jati diri sebagai anak Melayu.

"Tak Melayu hilang di dunia." Kata-kata yang banyak membuihkan inspirasi serta semangat perjuangan tapi, lihatlah hasilnya sekarang. Agak-agak, kalau Tuhan hidupkan Hang Tuah dan beri dia peluang untuk terokai kehidupan serba moden ni, mungkin ke dia bangga ataupun sebaliknya? Wallahu'alam. Aku pun tak tau. Tapi kalaulah aku jadi Hang Tuah, dah lama aku angkat kaki pergi Australia. Yelah, ramai orang kita yang dah bermastautin kat sana sampai Perdana Menteri bersuara pasal hal ni. Kurang setia lah, apa lah, itulah, inilah. (Aku taknak cakap lebih-lebih tentang apa yang dia cakap nanti aku dituduh jadi anti-pemerintah. :p)

Orang Melayu ni maju ke tak maju? Cuba kau analisa sendiri? Aku kalau boleh nak menangkan mauduk ni, tapi aku rasa, mauduk ni luas dan kalau aku banding dengan kaum lain, kita masih jauh di belakang. Bukan dari segi pencapaian akademik aje, tapi dari segi pentadbiran, perniagaan, keusahawanan dan sebagainya. Kita masih mempunyai banyak ruang untuk perubahan yang lebih positif, cuma yelah, tanggap negatif (ingat tak apa yang aku cakap tadi?) tu masih ungkanallazi. Orang kita ni ada yang tak mau berusaha. Dia ambil sikap sambil lewa. Asal cukup makan, asal boleh siap, dia suka. Tak banyak colok.

Okaylah, memang bagus kalau dia tak kiasu sangat tapi aku macam geram sebab dia macam tak ada wawasan atau cita-cita yang menjunam tinggi ke langit. Bukan lah aku suruh dia jadi Mat Jenin, tapi kalau boleh, biarlah ada semangat kental jadi berkobar-kobar sikit bila melakukan sesuatu, tugasan misalnya. Jadi bila dia nak selesaikan tugasan tu, dia lebih teliti, tekun, berdikari, rajin dan sebanyak-banyaknya perkataan adjektif yang baik-baik. Sejuk sikit hati aku ni. :p

Hmmm...aku dah merapu pulak. Sekian ajelah, tak usah banyak-banyak. Bukannya apa yang aku tulis tu banyak logik. Hmmm...



. . .

back // forth
Diaryland // Email?